Salam hormat,
Anda perlu berhati-hati ketika berkomunikasi di dalam forum. Ini bagi mengelakkan diri dibenci atau disalahanggap. Tidak dinafikan, kita tidak dapat menghalang sesiapa daripada berprasangka buruk terhadap kita, tetapi kita sendiri hendaklah melakukan beberapa langkah pencegahan.
Berikut saya kemukakan langkah-langkah mudah mengelak dari disalahanggap:
- Elakkan menulis tanpa penjelasan yang memuaskan. Kadang-kadang kita sudah terbiasa bercakap sepatah atau dua patah kata sahaja di dalam perbualan kita di rumah, sekiranya diaplikasi di dalam forum, ia mungkin mengundang salah faham. Contohnya, kita membalas topik dengan ayat “tidak mahu”. Ayat ini boleh dianggap sebagai satu provokasi.Ia boleh ditafsir dengan pelbagai soalan seperti: Apa yang anda tidak mahu?; Anda tidak bersetuju dengan saya?; Kenapa anda tulis “tidak mahu” sedangkan saya tidak menjangkakan jawapan sebegini? Pembuka topik biasanya akan bersalahsangka sekiranya ayat pembukanya yang berjela-jela dijawab dengan 2 perkataan sahaja!
- Elakkan nada perkauman. Sungguhpun majoriti pengguna forum adalah sebangsa dan seagama dengan kita, kita perlu sedar, forum bebas diakses oleh sesiapa sahaja. Jadi, elakkan nada perkauman kerana ia mengundang kemarahan orang lain disamping ia merosakkan cara kita berfikir. Pernah terjadi di forum terkenal WangCyber.com, seorang pembalas topik mengatakan, “rezeki adsense awak tak halal sebab awak guna perempuan telanjang sebagai daya penarik”, padahal pihak ketiga tersebut adalah seorang bukan Islam. Adakah dia akan ambil pusing tentang halal dan haram di dalam Islam?
- Masukkan emosi. Salah faham sering terjadi terhadap balasan-balasan topik yang tidak mempunyai sentuhan emosi. Saya pernah bereksperimen dengan menulis satu thread memberi amaran kepada spammer. Saya tidak memasukkan sebarang emosi di dalam thread tersebut. Saya tidak memasukkan kebiasaan ‘gelak jahat’ dan ‘ketawa kecil’ seperti ‘hehehe’ dan ‘hahaha’. Hasilnya? Tulisan saya dianggap serius walhal semasa menulis saya tidak henti-henti tersenyum! Jadi sekiranya anda marah, masukkan emosi marah dan sekiranya anda bermaksud bergurau, masukkan emosi gurauan. Sebab itulah emoticon seperti
,
dan ini
amat penting dalam komunikasi anda.
Begitulah sedikit sebanyak cadangan yang dapat saya buat. Sekiranya anda ada nak tambah, sila-silakanlah membalas topik ini.
Pembuli forum adalah merujuk kepada mereka yang suka membuli ahli baru sesuatu forum. Perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai membuli di dalam forum adalah
- Meminta seseorang ahli forum membuat post di bahagian forum pengenalan sebelum bertanyakan apa-apa soalan. Tidak dinafikan adalah menjadi adab yang baik membuat post pertama di forum pengenalan, tetapi meminta ahli berkenaan melakukannya adalah suatu perbuatan membuli.
- Menghalang seseorang ahli forum mendapatkan penjelasan melalui forum terbuka. Kebanyakan forum mempunyai bahagian yang dikenali sebagai “Komen dan Report”. Pembuka thread di bahagian ini tidak boleh dinafikan haknya untuk mendapatkan penjelasan. Menafikan haknya adalah suatu perbuatan membuli.
Moderator sesuatu forum biasanya disalahanggap sebagai pembuli di dalam forum. Adalah menjadi hak moderator menjalankan tugasnya. Beliau wajar dianggap membuli hanya sekiranya tindakannya melampaui peraturan dan tatacara forum.
Dah bosan dengan spam?
1. Gunakan Gmail. Setiap email yang ditandakan dengan ‘Spam’, insyaALLAH tidak akan menjelma lagi di dalam Inbox anda.
Itu sahaja cara paling berkesan sekiranya anda TELAH diserang oleh spam.
Anda sayang dengan nama email anda seperti sayangemail@streamyx.com atau seumpamanya?
Mudah sahaja, daftar 1 akaun Gmail dan buat setting pada Gmail tersebut bagi mengutip setiap email yang diterima oleh sayangemail@streamyx.com. Bagaimana caranya??
- Daftar 1 akaun Gmail
- Login akaun Gmail tersebut
- Klik link Settings dan klik Tab Accounts
- Pada bahagian Get mail from other accounts:, klik link Add another mail account
- Sentiasa login akaun Gmail tersebut untuk membuka email anda(sayangemail@streamyx.com).
2. Buat akaun unik. Sekiranya anda mempunyai domain sendiri, berikut adalah cara saya mengawal spam.
- Set akaun utama anda sebagai catch-all
- Berikan akaun email anda mengikut jenis audience
Apa maksudnya memberi email mengikut jenis audience?
Contoh
Sekiranya anda melawati RahsiaNewbie.com dan diminta memasukkan email, masukkan email rahsianewbie@domainanda.com
Sekiranya anda berinteraksi di WangCyber dan meninggalkan email di forum, tinggalkan email wangcyber@domainanda.com
Sekiranya anda membuat iklan, berikan pengiklan anda alamat email: iklan@domainanda.com
Get the idea?
Semua email yang tidak wujud ini(rahsianewbie@domainanda.com, wangcyber@domainanda.com dan iklan@domainanda.com) akan masuk ke dalam akaun utama anda(kerana ia diset sebagai catch-all).
Sekiranya anda dapati mana-mana email yang tidak wujud ini diserang oleh spam, wujudkan email tersebut. Ini menyebabkan spam tidak akan sampai ke akaun utama anda.
Biarkan email yang baru diwujudkan tersebut dipenuhi dengan spam dan anda tidak perlu lagi membeleknya!
Baiklah, atas permintaan mohsein dan juga janji sebelum ini. Berikut diterangkan 3 jenis penjenayah forum.
1. Thread hijacker - Perampas bebenang(heh!) atau bahasa mudahnya, perampas topik. Penjenayah ini biasanya akan membalas sesuatu topik dengan kandungan yang tidak ada kena mengena dengan topik dan ia seperti membuka suatu topik yang baru. Ini sangat biasa terjadi di dalam forum jual beli. Kita lihat 2 case study untuk memahami thread hijacker.
Case Study #1
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “laptop acer travelmate untuk dijual”. Beberapa pelawat membalas dengan beberapa soalan untuk penjelasan lanjut kerana mungkin mereka berminat untuk membeli. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengatakan beliau juga mempunyai laptop dengan jenama yang sama, untuk dijual, dengan harga yang lebih murah!
Case Study #2
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “bantu saya selesaikan coding ini!”. Di dalamnya pembuka topik mengemukakan coding beliau yang bermasalah. Beberapa rakan forum membalas dengan balasan-balasan bantuan. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengemukakan masalah beliau yang tersendiri dan kadang-kadang dengan nada mengarah!
2. Forum Flamer - Biasanya terdiri daripada pengunjung tetap forum. Mungkin merasakan mereka lebih layak bersuara, kadang-kadang kandungan tulisan mereka mengandungi sindiran, maki hamun dan juga kutukan. Sindiran mungkin boleh diterima jika kena pada tempatnya, tetapi maki hamun dan kutukan adalah suatu pantang larang berforum. Ada juga pengunjung yang jarang membalas topik di dalam forum, tetapi menjadi juara di dalam flaming!
3. Provocateur - Biasanya penjenayah seperti ini akan ditendang keluar dari forum berkali-kali(ya, berkali-kali kerana mereka tidak serik untuk mengunjungi forum yang diprovokasi). Tujuan provocateur mungkin untuk menjadi terkenal di dalam forum tersebut. Mungkin mereka berpegang kepada falsafah, “bad publicity is better than no publicity at all”. Provokasi yang biasa dibuat adalah suatu kenyataan yang tidak dapat diterima oleh majoriti ahli forum. Forum politik banyak berhadapan penjenayah seperti ini.
Pernah dengar pembuli forum? Kalau ada masa dan kelapangan, saya akan ceritakan.
Salam,
Apa itu forum spamming?
Forum spamming adalah membuka topik yang tidak ada kaitan dengan sesebuah forum yang disertai ataupun membalas topik tanpa ada kaitan dengan topik yang dibincangkan.
Biasanya spammer terdesak mempromosi laman jualan mereka. Tidak hanya kerana mempromosi servis atau produk anda, malah mempromosi blog anda di dalam topik yang tidak berkenaan juga dianggap sebagai forum spamming.
Ada juga sejenis forum spamming yang boleh dimaafkan. Bergantung kepada peraturan dan penguatkuasaan pengurusan forum. Forum spamming yang dimaafkan adalah balasan-balasan sampah kepada sesuatu topik.
Apa itu balasan-balasan sampah? Balasan-balasan ini terdiri daripada sembang-sembang kosong yang tidak memberi nilai tambah kepada topik yang dibincangkan. Spam jenis ini biasanya dimaafkan di dalam forum yang mementingkan kemeriahan forum mereka.
Ada juga spam yang sudah tidak lagi menjadi spam. Pada masa dahulu, membalas topik dengan hanya 5 perkataan ke bawah dianggap spam. Tetapi rasanya ia sudah tidak menjadi kesalahan. Tambahan ia adalah salah satu strategi yang digunakan di dalam forum jual beli. Biasanya pembuka topik akan mengakhiri promosi jualan mereka dengan ayat, “Sesiapa berminat sila balas Saya berminat, sila PM“. Maka dijangkakan ramai akan membalas Saya berminat, sila PM. Ini adalah strategi memastikan topik yang dibuka sentiasa hidup dan hot(berada di kedudukan teratas diantara banyak-banyak topik).
Tips mengelakkan menjadi forum spammer
- Jika mahu mempromosi blog atau laman komersil, pastikan dibuat pada tempat yang bersesuaian.
- Sentiasa membalas mengikut topik yang dibincangkan
- Jika anda ketagih untuk sembang kosong, silakan, tetapi pastikan ada sedikit tambahan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Ini bagi mengelakkan balasan anda menjadi 100% sembang kosong.
Artikel di atas adalah berkenaan forum spamming. Hindarilah. Selain forum spammer, mereka-mereka yang dibenci di dalam sesebuah forum adalah
- Thread hijacker
- Flamer
- Provocateur (oh, teringat abgX of WC)
Jika ada kesempatan, saya akan huraikan jenis-jenis penjenayah forum di atas.
Salam,
Ramai pengguna internet Malaysia masih tidak tahu apa itu email marketing. Tidak menjual diinternet tidak menjadi alasan untuk anda tidak tahu apa itu email marketing.
Kerana tentu sahaja anda tidak mahu dianggap buta IT, bukan?
Bagi usahawan internet pula, adalah menjadi satu kerugian sekiranya anda tidak mendidik masyarakat tentang apa itu email marketing.
Anda tentu sahaja tidak mahu email anda ditongsampahkan, bukan?
Jadi, tunggu apa lagi? Sebarkan artikel ini!
Baiklah, secara mudah, sekiranya anda mendapat email daripada seseorang yang anda tidak pasti anda kenal, sila jawab 2 soalan berikut
- Adakah anda pernah melawat laman web beliau?
- Adakah anda pernah meninggalkan email anda di laman web beliau?
Jika jawapannya tidak bagi mana-mana soalan di atas, bolehlah anda tandakan email tersebut sebagai spam.
Sekiranya jawapan anda adalah Ya, maka anda tidaklah perlu membalas email dengan memaki hamun penghantar email tersebut. Anda sendiri yang membenarkan beliau menghantar email kepada anda.
Kadang-kadang usahawan internet ‘merasuah’ anda dengan pemberian hadiah, atau potongan harga atau tips percuma atau seumpamanya semata-mata mahu mendapatkan email anda. Mereka tahu anda tidak semestinya membeli dari mereka. Tetapi, setiap usahawan sedia maklum, jika barang yang ingin dijual sememangnya dicari oleh anda, anda akan membeli dari mereka.
Bagi usahawan internet, menghantar promosi ke ratusan malah ribuan email prospek yang berfokus adalah suatu praktis yang terbaik.
Teorinya mudah, contohnya, jika anda sanggup memberikan nama dan email anda semata-mata mahukan tips memberi nama anak, anda tentu sahaja sanggup menerima email tentang penjagaan anak ataupun cara mendidik anak.
Sekiranya setelah menerima ‘rasuah’, anda tidak mahu lagi menerima email dari ‘pemberi rasuah’, janganlah pula anda berpura-pura tidak kenal. Atau berlaku kejam dengan menandakan email beliau sebagai spam.
Sebaiknya, anda boleh sahaja mengklik pada link di bahagian bawah email si penghantar email. Biasanya ada perkataan “unsubscribe” pada link tersebut yang membawa maksud, anda tidak lagi mahu menerima email dari mereka.
Oh ya, apa itu email marketing?
Email marketing adalah pemasaran melalui email. Anda akan mendapat promosi dari usahawan internet. Promosi melalui email ini tidak dikatakan spam kerana anda sebagai pengguna internet, dengan rela hati memberi nama dan email anda bagi tujuan tersebut. Sekiranya anda tidak menyukai email yang diterima, sila “unsubscribe” seperti yang saya nyatakan di atas.