Penjenayah Forum. Lanjutan “Forum Spamming - Hindari!”
Baiklah, atas permintaan mohsein dan juga janji sebelum ini. Berikut diterangkan 3 jenis penjenayah forum.
1. Thread hijacker - Perampas bebenang(heh!) atau bahasa mudahnya, perampas topik. Penjenayah ini biasanya akan membalas sesuatu topik dengan kandungan yang tidak ada kena mengena dengan topik dan ia seperti membuka suatu topik yang baru. Ini sangat biasa terjadi di dalam forum jual beli. Kita lihat 2 case study untuk memahami thread hijacker.
Case Study #1
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “laptop acer travelmate untuk dijual”. Beberapa pelawat membalas dengan beberapa soalan untuk penjelasan lanjut kerana mungkin mereka berminat untuk membeli. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengatakan beliau juga mempunyai laptop dengan jenama yang sama, untuk dijual, dengan harga yang lebih murah!
Case Study #2
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “bantu saya selesaikan coding ini!”. Di dalamnya pembuka topik mengemukakan coding beliau yang bermasalah. Beberapa rakan forum membalas dengan balasan-balasan bantuan. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengemukakan masalah beliau yang tersendiri dan kadang-kadang dengan nada mengarah!
2. Forum Flamer - Biasanya terdiri daripada pengunjung tetap forum. Mungkin merasakan mereka lebih layak bersuara, kadang-kadang kandungan tulisan mereka mengandungi sindiran, maki hamun dan juga kutukan. Sindiran mungkin boleh diterima jika kena pada tempatnya, tetapi maki hamun dan kutukan adalah suatu pantang larang berforum. Ada juga pengunjung yang jarang membalas topik di dalam forum, tetapi menjadi juara di dalam flaming!
3. Provocateur - Biasanya penjenayah seperti ini akan ditendang keluar dari forum berkali-kali(ya, berkali-kali kerana mereka tidak serik untuk mengunjungi forum yang diprovokasi). Tujuan provocateur mungkin untuk menjadi terkenal di dalam forum tersebut. Mungkin mereka berpegang kepada falsafah, “bad publicity is better than no publicity at all”. Provokasi yang biasa dibuat adalah suatu kenyataan yang tidak dapat diterima oleh majoriti ahli forum. Forum politik banyak berhadapan penjenayah seperti ini.
Pernah dengar pembuli forum? Kalau ada masa dan kelapangan, saya akan ceritakan.