Pembuli forum adalah merujuk kepada mereka yang suka membuli ahli baru sesuatu forum. Perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai membuli di dalam forum adalah
- Meminta seseorang ahli forum membuat post di bahagian forum pengenalan sebelum bertanyakan apa-apa soalan. Tidak dinafikan adalah menjadi adab yang baik membuat post pertama di forum pengenalan, tetapi meminta ahli berkenaan melakukannya adalah suatu perbuatan membuli.
- Menghalang seseorang ahli forum mendapatkan penjelasan melalui forum terbuka. Kebanyakan forum mempunyai bahagian yang dikenali sebagai “Komen dan Report”. Pembuka thread di bahagian ini tidak boleh dinafikan haknya untuk mendapatkan penjelasan. Menafikan haknya adalah suatu perbuatan membuli.
Moderator sesuatu forum biasanya disalahanggap sebagai pembuli di dalam forum. Adalah menjadi hak moderator menjalankan tugasnya. Beliau wajar dianggap membuli hanya sekiranya tindakannya melampaui peraturan dan tatacara forum.
Salam,
Sebelum ini, saya pernah mengajar cara mengawal spam.
Untuk pengetahuan anda, teknik yang saya ajar bukan sahaja dapat mengawal spam, malah kita dapat mengetahui usahawan internet manakah yang menjual email kita ataupun menggunakan aktiviti spam melalui identiti yang dirahsiakan.
Jadi, amaran kepada spammer, saya tahu siapa anda, keluarkan email saya dari list secara berhemah sebelum saya menggunakan ‘another trick up my sleeve’.
Baiklah, atas permintaan mohsein dan juga janji sebelum ini. Berikut diterangkan 3 jenis penjenayah forum.
1. Thread hijacker - Perampas bebenang(heh!) atau bahasa mudahnya, perampas topik. Penjenayah ini biasanya akan membalas sesuatu topik dengan kandungan yang tidak ada kena mengena dengan topik dan ia seperti membuka suatu topik yang baru. Ini sangat biasa terjadi di dalam forum jual beli. Kita lihat 2 case study untuk memahami thread hijacker.
Case Study #1
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “laptop acer travelmate untuk dijual”. Beberapa pelawat membalas dengan beberapa soalan untuk penjelasan lanjut kerana mungkin mereka berminat untuk membeli. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengatakan beliau juga mempunyai laptop dengan jenama yang sama, untuk dijual, dengan harga yang lebih murah!
Case Study #2
Pembuka topik membuka topik dengan tajuk, “bantu saya selesaikan coding ini!”. Di dalamnya pembuka topik mengemukakan coding beliau yang bermasalah. Beberapa rakan forum membalas dengan balasan-balasan bantuan. Thread hijacker akan membalas topik dengan mengemukakan masalah beliau yang tersendiri dan kadang-kadang dengan nada mengarah!
2. Forum Flamer - Biasanya terdiri daripada pengunjung tetap forum. Mungkin merasakan mereka lebih layak bersuara, kadang-kadang kandungan tulisan mereka mengandungi sindiran, maki hamun dan juga kutukan. Sindiran mungkin boleh diterima jika kena pada tempatnya, tetapi maki hamun dan kutukan adalah suatu pantang larang berforum. Ada juga pengunjung yang jarang membalas topik di dalam forum, tetapi menjadi juara di dalam flaming!
3. Provocateur - Biasanya penjenayah seperti ini akan ditendang keluar dari forum berkali-kali(ya, berkali-kali kerana mereka tidak serik untuk mengunjungi forum yang diprovokasi). Tujuan provocateur mungkin untuk menjadi terkenal di dalam forum tersebut. Mungkin mereka berpegang kepada falsafah, “bad publicity is better than no publicity at all”. Provokasi yang biasa dibuat adalah suatu kenyataan yang tidak dapat diterima oleh majoriti ahli forum. Forum politik banyak berhadapan penjenayah seperti ini.
Pernah dengar pembuli forum? Kalau ada masa dan kelapangan, saya akan ceritakan.
Salam,
Apa itu forum spamming?
Forum spamming adalah membuka topik yang tidak ada kaitan dengan sesebuah forum yang disertai ataupun membalas topik tanpa ada kaitan dengan topik yang dibincangkan.
Biasanya spammer terdesak mempromosi laman jualan mereka. Tidak hanya kerana mempromosi servis atau produk anda, malah mempromosi blog anda di dalam topik yang tidak berkenaan juga dianggap sebagai forum spamming.
Ada juga sejenis forum spamming yang boleh dimaafkan. Bergantung kepada peraturan dan penguatkuasaan pengurusan forum. Forum spamming yang dimaafkan adalah balasan-balasan sampah kepada sesuatu topik.
Apa itu balasan-balasan sampah? Balasan-balasan ini terdiri daripada sembang-sembang kosong yang tidak memberi nilai tambah kepada topik yang dibincangkan. Spam jenis ini biasanya dimaafkan di dalam forum yang mementingkan kemeriahan forum mereka.
Ada juga spam yang sudah tidak lagi menjadi spam. Pada masa dahulu, membalas topik dengan hanya 5 perkataan ke bawah dianggap spam. Tetapi rasanya ia sudah tidak menjadi kesalahan. Tambahan ia adalah salah satu strategi yang digunakan di dalam forum jual beli. Biasanya pembuka topik akan mengakhiri promosi jualan mereka dengan ayat, “Sesiapa berminat sila balas Saya berminat, sila PM“. Maka dijangkakan ramai akan membalas Saya berminat, sila PM. Ini adalah strategi memastikan topik yang dibuka sentiasa hidup dan hot(berada di kedudukan teratas diantara banyak-banyak topik).
Tips mengelakkan menjadi forum spammer
- Jika mahu mempromosi blog atau laman komersil, pastikan dibuat pada tempat yang bersesuaian.
- Sentiasa membalas mengikut topik yang dibincangkan
- Jika anda ketagih untuk sembang kosong, silakan, tetapi pastikan ada sedikit tambahan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Ini bagi mengelakkan balasan anda menjadi 100% sembang kosong.
Artikel di atas adalah berkenaan forum spamming. Hindarilah. Selain forum spammer, mereka-mereka yang dibenci di dalam sesebuah forum adalah
- Thread hijacker
- Flamer
- Provocateur (oh, teringat abgX of WC)
Jika ada kesempatan, saya akan huraikan jenis-jenis penjenayah forum di atas.